Wednesday, April 16, 2008

ALAM DAMAI-Laman gaya palma

Ayub masih mengintai peluang untuk memiliki palma jenis blackboy yang banyak terdapat di Afrika.


POKOK palma spesies cycads ini sangat disayangi pemiliknya kerana ia sukar diperoleh.

MELANGKAH ke halaman milik pasangan Ayub Abu Bakar, 46, dan isteri Zunaidah Embong, 40, di Kampung Tok Kaya, Chabang Tiga, Kuala Terengganu membuahkan rasa tenang dan nyaman.

Rangsangan kedamaian terbit daripada rimbunan pepohon hijau palma yang memberikan inspirasi pada gaya landskap kediaman banglo setingkat ini.

Ruang yang minimum bijak disempurnakan dengan susun atur pokok hiasan, bermula dari ruang luar pagar hingga ke beranda rumah. Pokok-pokok yang diletakkan di tepi pagar pula membentuk ruang santai yang lebih luas.

Antara spesies yang terdapat di halaman Ayub ialah paku aji atau clivicola serta cycads, cycads dion serta zamia daun halus dan daun keras.

Namun pokok yang paling menarik dan sangat disayangi pemiliknya ialah cycads yang bercabang dua yang amat sukar diperoleh.


TEMPAYAN dan pasu besar melengkapkan hiasan laman yang menjadi tumpuan tetamu.

Dalam pada itu, paduan perabot ringkas yang diperbuat daripada kayu dan pangkin menjadikan laman rumah tampak santai dan selari dengan konsep tanaman yang ada.

Dilengkapkan dengan hiasan tempayan dan pokok menjalar di sisi pagar, kediaman yang dihuni pasangan itu bersama lima anak mereka sejak 17 tahun lalu kelihatan lebih menarik.

Selain menjadi tempat istirehat bersama keluarga, halaman yang kaya dengan elemen semula jadi itu juga menjadi tumpuan setiap kali ada sahabat atau saudara mara datang berkunjung.
Sangka penulis, tata hias halaman kediaman itu diilhamkan melalui perancangan landskap yang rapi.

Tetapi pemilik kediaman memberitahu, halaman itu terhasil kerana minatnya yang mendalam terhadap pokok jenis palma yang mula dikumpul sejak berpindah ke situ.



SETIAP pokok yang ditanam menyimpan nilai sentimental.

Kata Ayub, landskap itu terbentuk selepas adanya inisiatif untuk meletakkan koleksi palmanya di dalam bentuk yang lebih menarik, sekali gus menjadikan halaman kediaman itu tampil dengan gaya eksklusif dan tersendiri.
Berkongsi rahsia tentang minatnya itu, Ayub memberitahu, nilai pada setiap batang pokok yang ditanam itu memberikan satu kepuasan buat dirinya.

"Semua pokok yang saya tanam mempunyai nilai sentimental kerana lebih kecil pokok ini mula ditanam, lebih banyak nilai yang ada padanya," kata Ayub.

Mengakui pokok jenis itu lambat membesar, namun katanya, itulah yang menjadikan tumbuhan itu cantik dan unik. "Walaupun nampak kaku, ia sebenarnya sangat istimewa," terang beliau.
Katanya, bukan tidak ada pokok jenis lain tetapi minatnya hanya pada pokok jenis itu. Kini terdapat kira-kira 40 batang pokok seumpamanya di rumah Ayub.

"Pokok jenis ini banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara Semenanjung dan kebanyakan pokok yang ada di rumah saya ini saya dapatkan dari Kedah," ujarnya.


DI pangkin inilah Ayub dan isteri sering bersantai.

Menurut Ayub, pokok-pokok tersebut menjadikan tempat berbukit dan berbatu sebagai habitat dan sukar ditemui. Harga pasarannya pula agak mahal.

Namun katanya, dek kerana minatnya yang mendalam, pengusaha kedai tempahan iklan ini tidak kisah berhabis untuk melengkapkan koleksinya itu.

Mengakui ada antara koleksinya itu tidak sempat hidup lama, namun katanya, itu merupakan sebahagian daripada cabaran yang harus diterima.

Bagaimanapun katanya, apabila tumbuhan itu mula tumbuh, ia senang dijaga kerana tidak perlu disiram selalu.

Apa yang perlu dilakukan ialah menjaga pucuknya sahaja daripada ancaman ulat dengan semburan racun kerana ulat itu boleh mencacatkan pertumbuhan daunnya.

Biarpun koleksinya kini sudah padat untuk ruangan halamannya, namun Ayub masih mengintai peluang untuk memiliki palma jenis blackboy yang banyak terdapat di Afrika.

"Tunggulah sikit masa lagi, saya akan cuba dapatkannya juga," katanya. -oleh Manirah Othman

No comments: